PUASA
Firman Allah Taala:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.
"Wahai  orang-orang yang beriman,  kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana  puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu,  supaya kamu bertaqwa". (1)
Firman-Nya lagi:
شَهْرُ  رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ  وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ  الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..
"(Masa  yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya  diturunkan Al-Qur`an, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia,  dan  menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan  (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu,  sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau  mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .. ". (2)
____________________________
Berpuasa  pada bulan Ramadhan - sebagaimana yang sedia maklum - ialah "rukun  Islam yang keempat". Dalilnya dari al-Qur'an ialah ayat-ayat suci yang  diterangkan di atas dan dari hadith pula seperti berikut:
1- عَنْ  ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْإِسْلَامَ بُنِيَ عَلَى خَمْسٍ  شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ  وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ. (رواه مسلم)  
1-  Dari Ibn Umar, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Islam itu  dibina dan ditegakkan di atas lima dasar (lima rukun), iaitu mengucap  dua kalimah syahadat (dengan meyakini serta menerangkan kebenaran)  bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan  Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah,   mendirikan sembahyang,  memberi zakat,  berpuasa pada bulan Ramadhan,   dan mengerjakan haji ke Baitullah".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Menurut sejarahnya puasa bulan Ramadhan telah difardhukan atas umat Islam dalam bulan Sya'aban, tahun yang kedua Hijriyah.
_________________________________
Ta'rif Puasa dan Kelebihannya
Puasa  ertinya menahan diri,  dan pada syarak maksudnya menahan diri daripada  segala yang membatalkan puasa,  mulai dari masa terbit fajar hingga  tenggelam matahari disertakan dengan niat. 
Membendung Kemahuan Hawa Nafsu
Menurut  huraian ulama' rahimahumullah: "Sebahagian besar dari kejadian kacau  bilau yang berlaku dalam sebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan  hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas sehingga ada yang melupai  kehormatan diri dan rumah tangga,  mencuaikan tugas dan kewajipan,   mengkhianati amanah dan berbagai perkara jenayah lagi.
"Oleh  itu, kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya,  serta melatih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang  zahir dan yang batin sebagaimana yang terdapat dalam amalan puasa adalah  menjadi satu cara hidup yang aman sentosa. 
"Dengan yang demikian, nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau rukun Islam."(1)
__________________________________
Kelebihan Puasa Secara Umum
Kelebihan atau fadhilat puasa secara umum - sama ada yang wajib atau yang sunat - diterangkan dalam hadith yang berikut:
2- عَنْ  أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ  اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ  وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا  أَجْزِي بِهِ. (رواه مسلم)  
2-  Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w.  bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya: "Segala  amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa,  (maka) ia  adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang  sebaik-baiknya) .."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Oleh  kerana amalan puasa (yang wajib dan yang sunat) itu dikerjakan secara  tertutup antara seseorang dengan Tuhannya berdasarkan ikhlas semata-mata  - berbanding dengan amal-amal bakti yang lain yang dikerjakan secara  terbuka,  maka amalan puasa yang demikian amatlah besar pahalanya dan  hanya Allah jua yang dapat menilai dan memberi balasan yang sepadan  dengannya.
_______________________________
1. Al-Ahadith al-Qudsiyah (1:172). Hadith ini ialah "Hadith Qudsi" diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dan lain-lainnya. Ta'rif Hadith Qudsi telah diterangkan dalam "Muqaddimah Mastika Hadith".
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
3- عَنْ  مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  قَالَ لَهُ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ  وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ. (رواه الترمذي)  
3-  Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda  kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?"  "Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan,  sabdanya:  "Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan  dosa sebagaimana air memadami api ... (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)
_______________________________
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:  
4- عَنْ  عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ  اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ  يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (رواه الإمام أحمد وغيره)  
4-  Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa  dan Al-Qur'an memohon syafa'at kepada Allah pada hari kiamat - bagi  orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula  membaca Al-Qur'an) .. (1).
(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)  
_________________________________
Selain  daripada menjadi sebab yang membawa rahmat di akhirat kelak, puasa juga  menjadi sebab yang membawa kebaikan yang berkesan di dunia ini. 
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
5- عَنْ  أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا  تَسْتَغْنُوا. (رواه الطبراني)  
5-  Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " ..  berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu  menjadi kaya .. (1)
(Hadith Riwayat Tabrani)
_______________________________
Mengenai puasa Ramadhan secara khusus,  diterangkan dalam hadith yang berikut:
6- عَنْ  أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ  عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا  غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلم)  
6-  Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa  yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan  mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya  yang telah lalu". (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut  huraian Imam Nawawi rahimahullah Amal-amal kebajikan yang menjadi sebab  untuk menghapuskan dosa-dosa yang tersebut, maksudnya dosa-dosa kecil  Kalau tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa-dosa besar Kalau tiada  dosa-dosa besar,  ia dapat meninggikan darjat
orang-orang itu di dalam syurga (2)
__________________________________
2. Tuhfat al-Ahwadzi (6:362).
sumber: http://www.islam.gov.my/dircportal/mastika/tbljilid3list.php 



 
 
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 



 



 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 



0 apa kata anda..!:
Post a Comment